Putrajaya: Kabinet setuju untuk melaksanakan Program Repatriasi Migran bagi memberi peluang kepada pendatang asing tanpa izin (Pati) untuk pulang ke negara asal tanpa tindakan pendakwaan.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata, Pati yang terbabit dalam program ini yang dilaksanakan bermula 1 Mac depan hanya akan dikenakan kompaun.
“Ia membabitkan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta 155 iaitu memasuki Malaysia tanpa pas sah dengan kadar kompaun RM500.
“Bagi Seksyen 15(1)(c) Akta 155 iaitu kesalahan tinggal di Malaysia selepas tamat tempoh pas dikeluarkan pula dikenakankompaun RM500.
“Bagi Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 iaitu kesalahan melanggar syarat pas pula dikenakan kompaun RM300,” katanya pada sidang media khas di Kompleks Setia Perkasa, di sini, hari ini.
Beliau berkata, kerajaan juga bersetuju untuk melanjutkan pembekuan permohonan kuota penggajian pekerja asing baharu bagi sektor formal.
“Ini kerana jumlah kuota yang diluluskan dan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja 2.0 yang dilaksanakan mampu memenuhi keperluan pekerja asing.
“Pembekuan permohonan kuota bermula pada 18 Mac 2023 dan akan berterusan sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak,” katanya.
Beliau berkata, Pusat Kelulusan Setempat (One Stop Centre – OSC) pengurusan pekerja asing juga akan diwujudkan semula dan ditempatkan di bawah seliaan Kementerian Dalam Negeri (KDN).
“Ia bagi membolehkan proses permohonan kuota hingga kemasukan pekerja asing ditambahbaik melalui pengurangan tempoh masa proses kerja daripada 29 bulan 13 hari kepada 15 bulan tujuh hari dengan pengurangan signifikan sehingga 46 peratus.
“Proses kerja baharu ini akan bermula apabila permohonan kuota baharu dibuka semula nanti,” katanya.
Selain itu, katanya, kerajaan juga akan mengadakan semakan semula memorandum persefahaman (MoU) bersama tiga negara sumber utama pekerja warga asing.
“Tiga negara itu merangkumi Bangladesh, Indonesia dan Nepal yang menyumbang sebanyak 77 peratus sumber pekerja asing di negara ini.
“Semakan itu bagi melihat semula terma yang perlu ditambah baik dari segi beberapa aspek termasuk kos migran, menjamin kebajikan, kepentingan majikan serta mempercepatkan proses,” katanya.
Katanya, semua keputusan itu dipersetujui Jemaah Menteri hasil Mesyuarat Jawatankuasa Bersama antara Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia mengenai pengurusan pekerja asing yang diadakan pada 16 Januari lalu.
Disiarkan pada: Januari 31, 2024 @ 8:01pm – Nurul Hidayah Bahaudin – www.hmetro.com.my